Wednesday 24 September 2014

SALAM UKHUWAH DAN PERKENALAN

Assalamualaikum dan salam ukhuwah buat pengunjung blog yang dirahmati Allah S.W.T. Terima kasih atas kunjungan kalian di blog ini.  Alhamdulillah syukur kehadrat Allah S.W.T kerana setelah sekian lama saya berhajat untuk berblog, tetapi baru kali ini Allah S.W.T memberi keizinan dan kekuatan untuk menulis dan berkongsi di sini.  Ucapan terima kasih tak terhingga buat Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) kerana telah memberi inspirasi untuk menghasilkan blog seperti ini.
 
Sebelum meneruskan catatan ini, terlebih dahulu saya memperkenalkan diri.  Salam ukhuwah dan persahabatan untuk semua.  Nama saya Haidah Binti Hamzah, merupakan anak sulung dan tunggal perempuan dari empat orang adik-beradik. Berasal dari Sekinchan, Selangor.  Isteri kepada Encik Harisfadilah Bin Haji Shamsuddin. Saya membesar di perkampungan FELDA, dalam bahasa yang mudah sebagai anak peneroka.  Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan (L.K.T.P) FELDA Kumai sehingga tahun 6. Dari tahun 1991 sehingga 1995 bersekolah di Sekolah Agama Menengah Pasir Panjang (SAMPP), Selangor.  Ketika itu saya tinggal bersama datuk dan nenek.  Kemudian meneruskan persekolahan di Sekolah Agama Menengah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAMSSAAS) Batu 38, Sabak Bernam, Selangor dari tahun 1996 hingga Jun 1997 untuk mengambil peperiksan Sijil Tinggi Agama (STA) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)
 
Kawan saya, CT Murni Binti Arshad telah memberikan borang maktab untuk diisi, akhirnya saya lulus semua ujian dan ditawarkan meneruskan pengajian ke Maktab Perguruan Ipoh Perak (MPIP) bermula 01.07.1997 hingga tahun 2000.  Pada 16.09.2000 saya telah dipostingkan ke Sekolah Kebangsaan Dusun Tua, Hulu Langat.  Terima kasih tak terhingga kepada Cik Nasir dan Cik Anah yang telah menghantar saya.   Pada 01.06.2004 saya ditawarkan mengikuti Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) pengkhususan: Pendidikan Al-Quran sepenuh masa di Maktab peguruan Islam, Bangi selama setahun. Keazaman dan keinginan yang kuat untuk menyambung pelajaran ke universiti telah termakbul, habis sahaja KSPK, saya di tawarkan pula melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usuluddin Dan Falsafah) secara pengajian jarah jauh (PJJ) di Universiti Kebangsaan Malaysia.  Begitu banyak nikmat yang Allah S.W.T kurniakan yang saya sendiri tidak jangkakan ......syukur alhamdulillah. 
 
Pada 05.06.2006 saya telah mendirikan rumahtangga dengan suami iaitu Encik Harisfadilah Bin Haji Shamsuddin dengan majlis yang meriah dan sederhana yang direstui oleh kedua-dua belah pihak.  Kami berdua diduga di awal perkahwinan di mana saya mengalami keguguran dan pada masa yang sama mengalami pendarahan dalaman akibat kandungan luar rahim yang menyebabkan tiub fallopio sebelah kanan saya terpaksa dipotong dan saya kehilangan banyak darah pada ketika itu.  Hanya Allah S.W.T yang tahu perasaan saya ketika itu.  Suami saya banyak memberi kata semangat dan menghiburkan saya sepanjang melalui tempoh berpantang sehinggalah sekarang.  Akhirnya, sekali lagi kami mendapat berita gembira di mana doktor mengesahkan saya mengandung dan doktor sekali lagi bimbang seandainya kandungan itu di luar rahim.  Alhamdulillah, tetapi bayi tidak mahu membesar dan saya diarahkan supaya menjalani prosedur Dilation and Curettage (D&C) di Hospital Putrajaya... sehinggalah sekarang, kami masih lagi menantikan zuriat dambaan hati dengan penuh sabar walau pun ada mulut-mulut yang menyindir kami.... Saya dan suami redha dengan ketentuan Allah S.W.T. ini.  Mengajar di Sekolah Kebangsaan Taman Rakan, Kajang selama 3 tahun yang memaksa saya berulang alik dari Nilai ke Kajang setiap hari menyebabkan saya memohon bertukar ke daerah Sepang.  Sejak 01.01.2008, saya mula mengajar di SJKC Chio Chiao yang begitu asing dengan sekolah saya sebelum ini.  Saya cuba menyesuaikan diri ditempat baru.  Tanpa sedar sudah 7 tahun saya mengajar di sana dan banyak suka dan duka telah dilalui. 
 
Aktiviti memasak tidak dapat dipisahkan kerana suami saya suka dengan makanan yang saya sajikan, beliau juga sumber inspirasi dan semangat saya untuk terus memasak.  Sekarang baru saya sedar yang saya mempunyai bakat memasak yang baik.  Saya suka memasak dan menjamu rakan-rakan sekerja dan anak murid saya di sekolah.  Alhamdulillah, mereka semua suka dan menepati citarasa mereka.  Sampai satu tahap pihak sekolah sering menempah makanan untuk program sekolah seperti Nasi lemak, ayam rendang, mee goreng, bihun goreng dan kuih-muih.  Penat sebenarnya tetapi seronok dan gembira jika orang suka makan makanan itu.  Kita perlu memasak dengan ikhlas, dari hati penuh kasih sayang dan diiringi dengan zikir.  Sekurang-kurangnya duit hasil memasak itu boleh saya simpan ke dalam Tabung Haji.  "Sikit-sikit lama-lama jadi bukit".  Orang lain yang nak pergi belajar membuat kuih, orang lain yang pergi.  Inilah yang dikatakan rezeki kerana saya menggantikan tempat adik iparku Shaziah.  Terima kasih kepada Kak Nor Majahah yang mempelawa saya menghadiri kelas masakan.  Pertama kalinya dalam hidup, saya pergi belajar membuat kuih dengan membayar yuran.  Saya belajar membuat kuih 'Cheese Tart'.  Terima kasih kepada Puan Nor Azzahraton Ab Karim.  Alang-alang belajar membuat kuih, mesti boleh dijual.  Balik sahaja dari kelas, saya pergi ke kedai bakery untuk membeli peralatan dan bahan membuat 'cheese tart'.  Saya mempraktikkan 'skill' dan ilmu yang di ajar.  Alhamdulillah... menjadi.  Kebetulan ada seminar di IPG kampus Bangi, saya bawa bekal 'cheese tart' dan pelawa kawan-kawan untuk merasanya.  Puan Mahakiki adalah pelanggan setia yang sering menempah 'cheese tart' dan 'cheese cake leleh'.  Produk terbaru untuk dijual ialah 'fruit tart','cream puff' dan coklat oreo. 
 
Blog masakan seperti Cahaya Cintaku, Masam Manis, Zalin Zalina dan Citarasawan adalah antara blog masakan yang sering saya kunjungi dan sumber inspirasi untuk berkarya dalam masakan.  Mana-mana resepi yang saya minat pasti saya akan mencubanya sehingga berjaya.  Walau bagaimanapun,  melihat kesungguhan sahabat lama saya iaitu Puan Zefa Nor Asmara Jubir di alam maya dalam perniagaan online dan penulisan dalam blognya telah menyuntik semangat dan tekad untuk mendalami ilmu tentang penulisan  blog terutamanya berkaitan perniagaan online.  Setelah beristiharah, saya pun mendaftarkan diri di Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) melalui Puan Zefa Nor Asmara Jubir di bawah seliaan Puan Normi Yusof.  Moga melalui kelas ABDR ini saya dapat melalui fasa baru yang lebih gemilang dan boleh memberi manfaat kepada orang lain.
 
Matlamat saya dari kelas ini adalah supaya saya dapat memahami dan mendalami asas penulisan dan penghasilan blog yang berkesan dan berjaya menjenamakan produk dan membina kredibiliti melalui blog ini.  Di samping itu, saya sangat teruja untuk mengenali insan-insan yang telah berjaya dan membina ukhuwah dengan bloger yang lain serta berkongsi ilmu yang bermanfaat.  Begitulah serba sedikit pengenalan dan coretan dari saya untuk kali ini.  Sehingga berjumpa lagi catatan yang lain.
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment