Thursday 7 May 2015

Percutian di Cameron Highlands

 
Assalamualaikum
 
Saya dan suami tidak merancang pun untuk ke Cameron Highlands, itulah kami, yang suka mencari hiburan dengan berkereta bersama pasangan dalam keadaan yang santai.  Tidak berapa ingat bila kami berdua ke sana, sesungguhnya kami berdua sangat gembira walaupun ianya percutian yang santai dan amat singkat.  Ianya dapat mengeratkan lagi hubungan kami suami isteri.
 
Kami bertolak dari Sepang tengahari, biasalah singgah solat, makan tengahari dan sampai di Tanah Rata pada waktu Maghrib.  Kami bersolat di Masjid Tanah Rata berhadapan dengan Balai Bomba Tanah Rata.  Masjid itu juga sangat dekat dengan Pasar Malam.  Kami berkesempatan mengunjungi Pasar Malam itu yang sangat ramai pengunjungnya.  Kami makan malam di kedai bersebelahan masjid yang kami bersolat Maghrib tadi.
 
Terima kasih kepada suami yang sudi membawa saya ke Cameron Higlands.  Insyaallah, jika ada kelapangan lagi kita pergi bercuti ke tempat yang lebih menarik lagi.  Saya amat teringin bercuti di pulau.  Hargai masa bersama pasangan dengan membuat aktiviti bersama. 
 
 










Monday 3 November 2014

PENGEDAR WSR

 
Assalamualaikum
 
Sebelum ini saya ada bercerita serba sedikit mengenai produk WSR (Women Secret Recepi) yang begitu banyak khasiatnya untuk kaum hawa.  Kita berikhtiar hanya Allah S.W.T sahaja yang menyembuhkan.  Kakak ipar saya Nor Majahah Binti Shamsuddin yang memperkenalkan produk ini kepada saya.  Saya membuat keputusan untuk menjadi pengedar WSR di sekitar Dengkil, Sepang dan Bandar Seri Putra seterusnya berkenalan dengan Dr. Maziah Binti Mansor.  Beliau merupakan seorang yang peramah dan baik hati. 
 
 
 
 
WSR ini dibuat khas untuk wanita dan penjualnya juga adalah wanita.  Wanita adalah insan yang hebat.  Produk WSR ini tidak ada perkhidmatan pos.  Kami pengedar-pengedar WSR seluruh Malaysia akan menghantar terus ke tangan pembeli dan memberi penerangan serba sedikit mengenainya.  Saya rasa terpanggil untuk membantu golongan hawa yang mempunyai masalah dalaman wanita.  Apa yang menarik produk ini disertakan dengan kertas doa dan secara tidak langsung elemen spriritual ketuhanan diterapkan.  Segala penyakit Allah S.W.T jua yang menyembuhkan.  WSR hanyalah sebahagian dari ikhtiar.  Sebarang pertanyaan mengenai produk WSR boleh hubungi saya.  Insyaallah, akan saya bantu mana yang boleh.
 


TUTORIAL RESEPI CREAM PUFF

 
Assalamualaikum.
 
Alhamdulillah, masih lagi diberi kesihatan untuk menulis walaupun pelbagai kerja yang perlu disiapkan.  Hari ini di sekolah sibuk dengan sambutan hari kanak-kanak.  Hari sebelumnya sibuk dengan sukaneka sekolah.  Ya Allah penat sangat rasanya badan ini.  Demi anak muridku, saya kuatkan juga semangat.  Baiklah, esok cuti hari minggu maka bolehlah saya merehatkan diri.  Kepada pembaca blog hari ini saya ingin berkongsi tutorial resepi cream puff. 

 
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Tahrunnisah Jali yang telah memberi kebenaran kepada saya untuk berkongsi resepi beliau dan tutorial yang beliau telah lakukan.  Saya sangat selesa dengan resepi yang beliau kongsikan kerana setiap kali percubaan menyediakan hidangan tidak menghampakan.  Berikut adalah teknik yang betul bagaimana menyediakan  cream puff naik gebu.  Resepi asal oleh Zaliana (puff) dan Yani untuk intinya.
  
Bahan-bahan puff ( menghasilkan 35 biji )
125 gm self raising flour atau tepung gandum + 2 sudu teh baking powder
100 gm butter
250 ml air
1 sudu teh gula
1 sudu teh esen vanila
3 biji telur (telur ni kalau saiz A 3 biji tp kalau saiz kecik jadikan 4 biji)


Cara-cara untuk puff:
1. Panaskan air, gula dan mentega dalam periuk sampai mendidih.  Masukkan tepung,
    kacau dengan cepat hingga adunan tak melekat pada periuk.  Masak adunan dengan api
    sederhana sehingga nampak kepingan nipis terbentuk.  Kemudian padamkan api.
    Sejukkan.
 
 
 
 
2. Pukul semua telur dalam bekas lain terlebih dahulu. saya guna pemukul tangan.
    Adunan tepung tadi pula letak dalam bekas lain (lihat gambar) kemudian masukkan
    sedikit demi sedikit telur ke  dalam adunan tepung dan pukul adunan hingga sebati.
 
 
3. Masukkan adunan ke dalam piping bag.  Paipkan menggunakan nozzle bentuk bintang.
 
 
4. Spray air ke atas doh untuk membantu adunan naik.  Bakar dalam oven hingga
     permukaan puff kekuningan, lebih kurang 25-30 minit.  Oven hendaklah dipanaskan 
    dulu, bakar dalam suhu 200 darjah celcius api atas bawah.  Kedudukan dulang
    hendaklah di tengah-tengah oven supaya permukaan dan bawah cream puff masak
    sekata dan suhu yang panas membantu puff naik dengan sempurna.
 

 
5. Pastikan puff telah benar-benar masak sebelum dikeluarkan dari oven.  Ia kelihatan
    ringan, bahagian bawahnya tidak melekat di dulang dan telah berwarna kuning
    kecoklatan sedikit.  Jika dikeluarkan sebelum cukup masak, puff akan turun dan tidak
    berongga di dalamnya.  Jangan buka oven sebelum tamat tempoh ye, nanti puff  akan
    turun melepek.

 
 
6. Gunting sedikit bahagian tepi puff dan paipkan inti kastad yang telah disejukkan.


 
Bahan-bahan untuk inti: (dibuat terlebih dahulu sblm membuat puff)
2 sudu besar tepung gandum*
2 sudu besar tepung jagung*
8 sudu besar gula*
2 cawan susu segar
2 biji telur (saiz A)
1 sudu teh esen vanila
2 sudu besar mentega
secubit pewarna kuning


Cara-cara untuk membuat intinya:
 
1.  Masukkan bahan bertanda * ke dalam mangkuk.  Masukkan 5 sudu besar susu. Kacau
     jangan ada yang berketul.

2.  Masukkan telur dan kacau lagi. Kemudian masukkan susu yang selebihnya, kacau dan
     tapis.

3.  Masukkan semua bahan (ditapis) tadi ke dalam periuk.  Masak menggunakan api
     sederhana dan,kacau supaya ia tidak berkerak dan hangus.  Masak sehingga ia pekat
     dan berkilat.  Kemudian padam api, masukkan mentega dan  kacau adunan sehingga
     sebati.


4.  Sejukkan inti sebelum dimasukkan ke dalam piping bag.

 
SELAMAT MENCUBA
MASAK DARI HATI MASAK DENGAN IMAN
 
 
Sumber:  Facebook Tahrunnisah Jali


 


Thursday 30 October 2014

7 SUNNAH NABI MUHAMMAD S.A.W YANG HEBAT

Assalamualaikum

Dalam kehidupan sehari-hari ada kala kita mungkin telah melampaui batas. Imaginasi kotor, percakapan dan perbuatan yang tidak betul menjadikan kita selalunya semakin jauh dengan Allah. Tetapi itulah kita manusia, tak lari dari kesilapan dan mujurlah Allah selalu membuka pintu taubat kepada kita, agar dapat kita meneruskan perjalanan menuju akhirat dengan lebih berkat.  Hendaknya kita sekurang-kurangnya perlu menjaga tujuh Sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh-tujuh Sunnah Nabi S.AW. itu adalah:
 
Pertama:
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah.
 
Kedua:
Membaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat 3Qul atau ayat qursi.
 
Ketiga:
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkan kaki ke masjid terlebih dahulu, kerana masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.
 
Keempat:
Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.  Yakinlah, kesan solat dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki.
 
Kelima:
Jaga sedekah setiap hari.  Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.  Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.
 
Keenam:
Jaga wuduk terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwuduk senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.
 
Ketujuh:
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah. 
 
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah.  Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya.  Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berteraskan pada materialisme dan hedonisme.
 
 
Sebarkanlah ilmu ini, dan anda tidak akan rugi sedikit pun, sebarkan, semoga ianya memberi manfaat pada semua.
 
Sumber:  Tulisan Ustaz Don Daniyal Biyajid

Wednesday 29 October 2014

RESEPI PISANG GORENG KEJU

 
Assalamualaikum

Hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca blog mengenai resepi pisang goreng keju koko yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.  Harganya pun boleh tahan mahalnya.  Kesian kepada yang mempunyai ahli keluarga yang ramai, tidak berbaloi rasanya untuk membeli pisang goreng keju dan sudah semestinya berebut dan tidak puas menikmatinya.  Apa yang pasti pisang gorengnya sangat ranggup.  Jom kita lihat bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan pisang goreng keju.Terima kasih kepada Pn. Tahrunnisah Jali yang berkongsi resepi ini.
 
Bahan-bahan utk pisang goreng:-
  • Pisang ikutlah apa-apa pisang pun
  • 1 1/2 cawan tepung gandum
  • 4 sudu besar minyak yang betul-betul panas
  • sedikit garam
  • 1 sudu besar air kapur
  • 2 sudu gula
  • sedikit serbuk kunyit
  • Air secukupnya
  • Cheddar cheese yang diparut halus
  • Susu pekat
  • Coklat urai (Chocolate rice) atau coklat yang kita parut.
Cara-cara memasak:-
Mula- panaskan minyak dlm kuali utk menggoreng

Siapkan bancuhan tepungnya dulu:
1.  Masukkan tepung gandum, gula, garam dan air secukupnya.  Adunan ini mesti pekat.

2.  Kemudian masukkan minyak panas, kacau sebati.
 
3.  Potong menyerong pisang nipis..(cara sayalah) terpulang kalau tuan puan nak potong
     macam mana janji jangan potong hancur sudah.
 
4.  Celup pisang dlm adunan tepung dan masukkan ke dalam minyak panas tadi.  Goreng
     hingga ia garing dan keperangan. Gunakan api yang sederhana.
 
5.  Angkat dan toskan pisang.  Goreng pisang sehingga siap.
 
6.  Ambil pinggan kemudian letak pisang.  Dengan menggunakan sudu besar, ambil sedikit
     susu pekat dan tuang atas pisang.  saya hanya layang-layangkan sahaja kemudian baru
     taburkan keju (cheese) atas nya dan tabur pula coklat urai (chocolate rice).
 
7.  Hidangan siap dan boleh dimakan.
 



SELAMAT MENCUBA
MASAK DENGAN PENUH KASIH SAYANG
 
Sumber:  Facebook Tahrunnisah Jali.
 
 

Monday 27 October 2014

PAYUNG PETRONAS 2014

Setiap kali mengisi minyak di stesen minyak Petronas, saya pasti akan bertanya kepada penjaga kaunter bayaran mengenai payung yang boleh saya tukar dengan kupon pembelian minyak.  Kad saya sudah penuh dicop.  Naik tebal muka ini sebenarnya.  Terdetik juga dalam hati, adakah aku ini kena tipu atau terlalu obses dengan iklan.  Saya redha jika payung itu bukan rezeki saya kerana sudah lunyai kertas kupon saya.
 
Tapi jika payung itu memang rezeki kita, pasti kita akan memilikinya.  Inilah yang terjadi dengan saya.  Hari Jumaat 3.10.2014 pada jam 5.30 saya dan suami dalam perjalanan ke Bandar Baru Bangi dan singgah di Petronas Nilai, suami saya menyuruh saya pergi bertanyakan tentang payung itu.  Hampa sekali lagi kerana stok payung sudah habis.  Kami suka betul berurusan di Petronas kerana banyak kemudahan yang disediakan seperti tandas yang bersih, surau, kemudahan bank elektronik dan lain-lain lagi.
 
Dalam perjalanan pulang ke rumah di Salak Tinggi, kami singgah di Petronas Kampung Salak untuk mengisi minyak kereta.  Pesan suami kepada saya jika ingin mengisi minyak kereta isilah pada waktu malam atau pada waktu hari hujan.  Entahlah betul atau tidak teori itu.  Nak dijadikan rezeki, saya ke kaunter bayaran untuk membayar duit petrol dan saja bertanyakan mengenai payung.  Alangkah gembiranya stok payung masih ada.  Secara rasminya, malam semalam payung petronas itu sudah menjadi milik saya dan suami.  Syukur alhamdulillah.
 
Kepada pembaca blog yang akan pulang ke kampung menyambut hari raya Eidul Adha hendaklah pastikan keadaan kereta anda selamat untuk dipandu.  Pemandu juga perlu mendapat rehat yang secukupnya. 

SALAM AWAL MUHARAM 1436 HIJRAH

Assalamualaikum.

Rasanya tidak terlalu lambat saya ingin mengucapkan salam Maal Hijrah 1436 Hijrah kepada semua pembaca blog.  Begitu cepat masa berlalu.  Sama-samalah kita menetapkan azam agar memperbaiki diri supaya menjadi seorang muslim dan muslimah yang bertaqwa.  Tingkatkan amal ibadah dan istiqomah dalam melakukan kebaikan dalam kehidupan seharian.  Ilmu tanpa amal tiada guna.  Marilah kita berubah sempena tirai 1436 hijrah telah pun bermula.  Masa tidak menunggu kita, rebutlah peluang ini sebelum ajal memanggil kita.  Hari ini saya ingin kongsikan zikir harian yang perlu kita amalkan dalam kehidupan kita.  Orang lain tidak boleh mengubah perangai atau tabiat kita, sebaliknya semuanya berbalik kepada diri kita sendiri. 
 
Dalam mengharungi dunia moden hari ini, dunia tanpa sempadan kita perlukan iman yang mantap dan ilmu agama yang benar supaya kita boleh menjadi insan yang tidak mudah ditipu dengan kecanggihan sistem komunikasi yang kadang-kadang melalaikan tanpa kita sedar.  Carilah kemewahan dunia tanpa meninggalkan bekalan untuk akhirat.  Perubahan yang sedikit dan berterusan itu adalah lebih baik.  Alunan zikir boleh melembutkan hati dan mendamaikan jiwa.