Thursday 30 October 2014

7 SUNNAH NABI MUHAMMAD S.A.W YANG HEBAT

Assalamualaikum

Dalam kehidupan sehari-hari ada kala kita mungkin telah melampaui batas. Imaginasi kotor, percakapan dan perbuatan yang tidak betul menjadikan kita selalunya semakin jauh dengan Allah. Tetapi itulah kita manusia, tak lari dari kesilapan dan mujurlah Allah selalu membuka pintu taubat kepada kita, agar dapat kita meneruskan perjalanan menuju akhirat dengan lebih berkat.  Hendaknya kita sekurang-kurangnya perlu menjaga tujuh Sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh-tujuh Sunnah Nabi S.AW. itu adalah:
 
Pertama:
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah.
 
Kedua:
Membaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat 3Qul atau ayat qursi.
 
Ketiga:
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah ke mana pun langkahkan kaki ke masjid terlebih dahulu, kerana masjid merupakan pusat keberkatan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.
 
Keempat:
Jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.  Yakinlah, kesan solat dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki.
 
Kelima:
Jaga sedekah setiap hari.  Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.  Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.
 
Keenam:
Jaga wuduk terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwuduk senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.
 
Ketujuh:
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah. 
 
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah.  Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya.  Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berteraskan pada materialisme dan hedonisme.
 
 
Sebarkanlah ilmu ini, dan anda tidak akan rugi sedikit pun, sebarkan, semoga ianya memberi manfaat pada semua.
 
Sumber:  Tulisan Ustaz Don Daniyal Biyajid

Wednesday 29 October 2014

RESEPI PISANG GORENG KEJU

 
Assalamualaikum

Hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca blog mengenai resepi pisang goreng keju koko yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.  Harganya pun boleh tahan mahalnya.  Kesian kepada yang mempunyai ahli keluarga yang ramai, tidak berbaloi rasanya untuk membeli pisang goreng keju dan sudah semestinya berebut dan tidak puas menikmatinya.  Apa yang pasti pisang gorengnya sangat ranggup.  Jom kita lihat bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan pisang goreng keju.Terima kasih kepada Pn. Tahrunnisah Jali yang berkongsi resepi ini.
 
Bahan-bahan utk pisang goreng:-
  • Pisang ikutlah apa-apa pisang pun
  • 1 1/2 cawan tepung gandum
  • 4 sudu besar minyak yang betul-betul panas
  • sedikit garam
  • 1 sudu besar air kapur
  • 2 sudu gula
  • sedikit serbuk kunyit
  • Air secukupnya
  • Cheddar cheese yang diparut halus
  • Susu pekat
  • Coklat urai (Chocolate rice) atau coklat yang kita parut.
Cara-cara memasak:-
Mula- panaskan minyak dlm kuali utk menggoreng

Siapkan bancuhan tepungnya dulu:
1.  Masukkan tepung gandum, gula, garam dan air secukupnya.  Adunan ini mesti pekat.

2.  Kemudian masukkan minyak panas, kacau sebati.
 
3.  Potong menyerong pisang nipis..(cara sayalah) terpulang kalau tuan puan nak potong
     macam mana janji jangan potong hancur sudah.
 
4.  Celup pisang dlm adunan tepung dan masukkan ke dalam minyak panas tadi.  Goreng
     hingga ia garing dan keperangan. Gunakan api yang sederhana.
 
5.  Angkat dan toskan pisang.  Goreng pisang sehingga siap.
 
6.  Ambil pinggan kemudian letak pisang.  Dengan menggunakan sudu besar, ambil sedikit
     susu pekat dan tuang atas pisang.  saya hanya layang-layangkan sahaja kemudian baru
     taburkan keju (cheese) atas nya dan tabur pula coklat urai (chocolate rice).
 
7.  Hidangan siap dan boleh dimakan.
 



SELAMAT MENCUBA
MASAK DENGAN PENUH KASIH SAYANG
 
Sumber:  Facebook Tahrunnisah Jali.
 
 

Monday 27 October 2014

PAYUNG PETRONAS 2014

Setiap kali mengisi minyak di stesen minyak Petronas, saya pasti akan bertanya kepada penjaga kaunter bayaran mengenai payung yang boleh saya tukar dengan kupon pembelian minyak.  Kad saya sudah penuh dicop.  Naik tebal muka ini sebenarnya.  Terdetik juga dalam hati, adakah aku ini kena tipu atau terlalu obses dengan iklan.  Saya redha jika payung itu bukan rezeki saya kerana sudah lunyai kertas kupon saya.
 
Tapi jika payung itu memang rezeki kita, pasti kita akan memilikinya.  Inilah yang terjadi dengan saya.  Hari Jumaat 3.10.2014 pada jam 5.30 saya dan suami dalam perjalanan ke Bandar Baru Bangi dan singgah di Petronas Nilai, suami saya menyuruh saya pergi bertanyakan tentang payung itu.  Hampa sekali lagi kerana stok payung sudah habis.  Kami suka betul berurusan di Petronas kerana banyak kemudahan yang disediakan seperti tandas yang bersih, surau, kemudahan bank elektronik dan lain-lain lagi.
 
Dalam perjalanan pulang ke rumah di Salak Tinggi, kami singgah di Petronas Kampung Salak untuk mengisi minyak kereta.  Pesan suami kepada saya jika ingin mengisi minyak kereta isilah pada waktu malam atau pada waktu hari hujan.  Entahlah betul atau tidak teori itu.  Nak dijadikan rezeki, saya ke kaunter bayaran untuk membayar duit petrol dan saja bertanyakan mengenai payung.  Alangkah gembiranya stok payung masih ada.  Secara rasminya, malam semalam payung petronas itu sudah menjadi milik saya dan suami.  Syukur alhamdulillah.
 
Kepada pembaca blog yang akan pulang ke kampung menyambut hari raya Eidul Adha hendaklah pastikan keadaan kereta anda selamat untuk dipandu.  Pemandu juga perlu mendapat rehat yang secukupnya. 

SALAM AWAL MUHARAM 1436 HIJRAH

Assalamualaikum.

Rasanya tidak terlalu lambat saya ingin mengucapkan salam Maal Hijrah 1436 Hijrah kepada semua pembaca blog.  Begitu cepat masa berlalu.  Sama-samalah kita menetapkan azam agar memperbaiki diri supaya menjadi seorang muslim dan muslimah yang bertaqwa.  Tingkatkan amal ibadah dan istiqomah dalam melakukan kebaikan dalam kehidupan seharian.  Ilmu tanpa amal tiada guna.  Marilah kita berubah sempena tirai 1436 hijrah telah pun bermula.  Masa tidak menunggu kita, rebutlah peluang ini sebelum ajal memanggil kita.  Hari ini saya ingin kongsikan zikir harian yang perlu kita amalkan dalam kehidupan kita.  Orang lain tidak boleh mengubah perangai atau tabiat kita, sebaliknya semuanya berbalik kepada diri kita sendiri. 
 
Dalam mengharungi dunia moden hari ini, dunia tanpa sempadan kita perlukan iman yang mantap dan ilmu agama yang benar supaya kita boleh menjadi insan yang tidak mudah ditipu dengan kecanggihan sistem komunikasi yang kadang-kadang melalaikan tanpa kita sedar.  Carilah kemewahan dunia tanpa meninggalkan bekalan untuk akhirat.  Perubahan yang sedikit dan berterusan itu adalah lebih baik.  Alunan zikir boleh melembutkan hati dan mendamaikan jiwa.
 
 
 

Monday 20 October 2014

LEMANG TO'KI BENTONG

Assalamualaikum.
 
Pada 18.10.2014 yang lalu saya bersama suami telah menghadiri majlis perkahwinan sepupu suami iaitu Siti anak kepada Mak Ngah di FELDA Mempaga 2.  Majlis berlangsung dengan meriahnya. Saya sebenarnya sudah lama teringin makan lemang To'ki Bentong yang sering diperkatakan orang akan kesedapannya sehinggakan rancangan Jalan-jalan Cari Makan (JJCM) terbitan TV3 telah sampai di sana. 
Restoren Lemang To'ki Bentong terletak di tepi jalan besar selepas pekan Bentong.  Apabila nampak sahaja replika buluh lemang yang besar itulah restoren yang saya maksudkan.  Secara jujurnya memang lemangnya sedap, lemak, cukup masinnya dan yang paling seronok kita boleh makan lemang yang panas baru dimasak bersama rendang ayam atau daging yang juga sedap dan menjilat jari.  Rasa puas makan lemang di sini macam lemang yang dibuat oleh ibu dan arwah ayah saya.





 
 
Menu utama restoren To'ki Lemang ni sudah tentunya lemang dan terdapat juga masakan panas dan minuman yang enak di sini.  Lemang boleh terus makan di sana atau pun bungkus untuk dibawa pulang.  Harga sebatang lemang mengikut saiz.  Harga lemang saiz kecil ialah RM 8.00, saiz sederhana RM 10.00 dan saiz besar RM 12.00.  Saya rasa harga lemang yang dibayar berbaloi dengan kesedapan lemang itu.  Tidak rugi jika rakan-rakan bloger yang datang ke Bentong singgah di restoren To'ki Lemang Bentong.  Sekali singgah pasti akan singgah lagi.  Saya amat berpuas hati dengan layanan pekerja di sana walaupun saya hanya membungkus lemang sahaja untuk di bawa balik.

Kepada suami yang isteri yang mengidam untuk makan lemang panas yang sedap dan lemak silalah berkunjung ke restoren To'ki Lemang Bentong.  Ingat Bentong ingatlah restoren To'ki Lemang.  Kesedapannya hanya orang yang makan sahaja yang dapat menghayatinya.  Syukur alhamdulillah, kerana diberi kesempatan untuk singgah di sana dan makan lemang panas itu bersama suami tercinta.
 
Sekian, jumpa lagi.

Wednesday 15 October 2014

KEMATIAN TIDAK MENGENAL USIA

 
Assalamualaikum
 

Pada awal pagi 13.10.2014 ketika menghadiri perhimpunan pagi di SJKC Chio Chiao, saya diberitahu oleh Encik Chiew Gin Siong selaku guru kelas 2A yang menyatakan ayah Wan Muhammad Farhan Bin Wan Mohd Syahril telah meninggal dunia pada jam 2.00 pagi.  Berita sedih ini diberitahu sendiri oleh ibu Farhan mengenai ketidakhadiran anaknya ke sekolah pada hari tersebut oleh kerana bimbang anaknya akan menduduki peperiksaan akhir tahun pada pagi tersebut.  Kami semua guru-guru amat terkejut dengan berita itu.  Wan Muhammad Farhan merupakan seorang murid yang bijak dan disenangi oleh semua guru.
 
Selepas sahaja selesai perhimpunan dan sedikit perbincangan dibuat antara guru yang muslim dan kata sepakat diambil iaitu guru yang tidak ada kelas sebelum rehat dibenarkan pergi berziarah dengan mengisi borang kebenaran meninggalkan pejabat.  Saya bersama Cikgu Faizzuddin pergi ke rumah Farhan di No. 13, Jalan 22/1, Taman Seroja, Bandar baru Salak Tinggi.  Sebelum kami pergi ke sana Cikgu Faizzuddin sempat mengedarkan tabung derma kilat kepada guru-guru dan murid-murid bagi yang ingin menyumbang wang.  Alhamdulillah, sejumlah wang terkumpul bagi meringankan beban keluarga Farhan.

Jodoh pertemuan, ajal maut adalah ketentuan Ilahi. Kita hanya merancang dan Allah S.W.T yang menentukan semuanya.  Sesungguhnya kematian itu tidak mengenal usia.  Adik ipar saya contohnya telah pergi mengadap Allah pada 20.06.2014 yang lalu kerana demam denggi berdarah.  Nama beliau ialah Muhammad Farhan Bin Shamsuddin yang ketika itu berusia 21tahun.  Kami sekeluarga amat terasa kehilangannya kerana arwah merupakan anak bongsu dalam keluarga suami.

Ayah Farhan iaitu Wan Mohd Syahril Bin Ab Rahman baru berusia 36 tahun.  Beliau meninggal dunia di usia yang muda.  Sama-samalah kita sedekahkan surah al-Fatihah untuk adik ipar saya dan ayah Farhan semoga keduanya di tempatkan bersama orang-orang yang beriman.  Oleh itu, berazamlah untuk solat di awal waktu, berbuat baik kepada ibu bapa, banyakkan bersedekah, membaca al-Quran dan zikir serta buatlah kebaikan sepanjang kita hidup.  Kerana apabila kita meninggal dunia harta benda dan wang ringgit sudah tidak berguna lagi.  Kepada adik Farhan, saya doakan moga sabar dengan dugaan ini, belajar bersungguh-sungguh dan menjadi anak yang soleh.  Sentiasa gembirakan hati ibu dan menjadi contoh yang baik kepada adik-adik.

Sekian, jumpa lagi.


Wan Muhammad Farhan Bin Wan Mohd Syahril yang berbaju melayu warna ungu

 

Monday 13 October 2014

AYAT AL-QURAN PEMBATAL SIHIR

Assalamualaikum.

Maaf semua kerana sudah lama tidak bersiaran.  Minggu lepas saya dikejutkan dengan berita ibu saudara saya (Hamidah Binti Zakaria) yang tinggal di Kampung Medan, Petaling Jaya dikatakan tidak boleh berjalan dan didapati di dalam lututnya terdapat sebatang jarum yang melintang setelah imbasan dibuat oleh doktor pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).  Setelah mendapat rawatan akhirnya doktor membenarkan ibu saudara saya pulang bagi mendapatkan rawatan alternatif.
Keadaannya begitu menyedihkan.
 
Setelah mendapatkan rawatan perubatan Islam, ustazah itu menyatakan ibu saudara saya ini sudah terkena sihir yang memang ditujukan kepadanya.  Ya Allah, dunia moden hari ini pun masih lagi ada yang menggunakan sihir.  Saya sendiri pun macam tidak percaya, tetapi itu adalah kenyataannya.  Semasa proses rawatan Islam itu berlansung, di lutut sebelah kanan keluar serangga-serangga, miang-miang buluh dan beberapa bilah paku.  Saya tidak mahu bercerita seterusnya apa yang berlaku lagi tetapi sebagai pengajaran dari cerita ini sama-samalah kita amalkan ayat al-Quran ini sebagai pelindung diri kita dari gangguan jin, syaitan dan sihir.  Nauzubillah.
 
Jom kita cari dan amalkan ayat-ayat al-Quran di bawah:-
 
1.  Ayat pembatal sihir (Surah Yunus ayat 81-82)
2.  Ayat pendinding daripada sihir (Surah Yusof ayat 64)
3.  Ayat penunduk sihir ( surah al-A'raf ayat 118-122, surah Toha ayat 69)
4.  Ayat Pendinding daripada syaitan (Surah al-Mu'minun ayat 97) 
5.  Ayat perlindungan daripada syaitan (Surah al-A'raf ayat 27)
 
Maaf kerana tidak disertakan bersama ayat al-Qurannya sekali.  Marilah sama-sama kita merajinkan diri untuk mencari ayat-ayat tersebut di dalam al-Quran dan berusaha untuk mengamal dan menghafalnya.  Saya doakan kepada semua pembaca blog dipermudahkan untuk menghafalnya.

Sumber:
1.  al-Quran.
2.  Ruqyah Asas Pengubatan Islam Beserta Surah Yasin, Rangkaian Zikir Dan Doa-doa Mustajab
     (Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din)

Friday 3 October 2014

JANGAN PANDANG PADA RUPA

Pada petang 2.10.2014, saya dan suami ke Putrajaya untuk menziarahi ayah dan mak mentua yang berada di rumah kakak iparku di Presint 11.  Alhamdulillah, semuanya sihat.  Dalam perjalanan balik ke Salak Tinggi saya menyuarakan hasrat hati saya ingin makan burger.  Beliau mencadangkan 'Monster Burger' kiosk di hadapan Hotel Empress. 
 
Sepasang suami isteri yang menjalankan perniagaan burger itu.  Isterinya seorang yang begitu merendah diri.  Sebenarnya saya pertama kali datang ke kiosk burger ini.  Kecil dunia ini, suami kak Misriah adalah kawan suami saya rupanya.  Walau bagaimanapun, beliau sudah lama berhenti kerja dan berniaga sepenuh masa. 

Penampilan Kak Misriah yang sederhana itu tiada siapa akan menyangka beliau adalah seorang usahawan wanita yang berjaya.  Tidak lokek dengan ilmu perniagaan yang beliau ada untuk dikongsi dengan saya walaupun saya tidak kenal dengannya.  Saya dapat merasai kejujuran beliau kerana beliau bermula dari bawah dan dari keluarga yang susah.  Berkat kesabaran dan berdikit-dikit, sekarang beliau mempunyai rangkaian perniagaan yang boleh dibanggakan.  Kak Misriah hanya menemani suaminya sahaja di gerai dan menolong jika pelanggan ramai.  Kejujuran dalam sebuah perhubungan amat penting.  Sesungguhnya orang yang berkasih sayang kerana Allah amat tinggi darjatnya.

 

Wednesday 1 October 2014

KULIT TART YANG SEDAP

 
Assalamualaikum
 

Saya berkemahiran membuat kulit tart yang sedap dan ranggup. Ini adalah hasil dari mendapat tunjuk ajar dari seorang guru masakan yang baik iaitu Puan Nor Azahraton.  Kesungguhan dan tiada kenal erti putus asa ketika  saya membuat kulit tart setiap kali menerima tempahan  iaitu dari menyediakan bahan, mengadun, menguli, menempa  di dalam acuan dan membakar membolehkan saya menguasai kemahiran membuat kulit tart.  Kulit tart yang saya hasilkan juga enak dimakan begitu sahaja.  Selain menjual kuih tart keju, saya juga menjual kulit tart.
Kuih tart cheese jika dijual ianya dalam kategori kuih yang mahal harganya walau pun bentuknya kecil sahaja.  Itu adalah hakikat yang semua peminat kuih tart cheese kena terima.  Ini adalah disebabkan kos untuk menghasilkan kuih tart itu memerlukan kos yang tinggi terutama sekali bahan utamanya iaitu keju (cream cheese) dan inti strawberi atau lain-lain inti yang anda suka.  Oleh kerana itu, saya mencadangkan kepada peminat kuit tart keju yang mempunyai anak yang ramai dan tidak berkemampuan untuk membeli kuih tart keju bolehlah membeli kulit tart sahaja dan membuatnya di rumah.  Senang sahaja puan-puan hanya perlu membeli keju (cream cheese), telur(kuning), gula aising dan inti strawberi atau apa-apa inti yang pembaca blog suka .  Boleh lihat bagaimana kuih tart keju ini dibuat dalam blog http://zalinzalina.blogspot.com/.  Saya suka sekali membaca blog itu kerana banyak Puan Zalin Zalina tidak lokek untuk berkongsi resepi kuihnya.  Dengan hanya membeli kulit tart kita boleh menjimatkan wang, masa dan boleh merasai sendiri membuat kuih tart keju itu.  Pastinya suami dan anak-anak kagum dengan kebolehan anda membuat kuih tersebut.  Kepada sesiapa yang berminat untuk menempah kulit tart atau kuih tart keju hendaklah menempah 3 hari lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan berlaku.  Boleh hubungi saya di talian 019-2423872 atau 013-9665732 (whatsap).