Monday 20 October 2014

LEMANG TO'KI BENTONG

Assalamualaikum.
 
Pada 18.10.2014 yang lalu saya bersama suami telah menghadiri majlis perkahwinan sepupu suami iaitu Siti anak kepada Mak Ngah di FELDA Mempaga 2.  Majlis berlangsung dengan meriahnya. Saya sebenarnya sudah lama teringin makan lemang To'ki Bentong yang sering diperkatakan orang akan kesedapannya sehinggakan rancangan Jalan-jalan Cari Makan (JJCM) terbitan TV3 telah sampai di sana. 
Restoren Lemang To'ki Bentong terletak di tepi jalan besar selepas pekan Bentong.  Apabila nampak sahaja replika buluh lemang yang besar itulah restoren yang saya maksudkan.  Secara jujurnya memang lemangnya sedap, lemak, cukup masinnya dan yang paling seronok kita boleh makan lemang yang panas baru dimasak bersama rendang ayam atau daging yang juga sedap dan menjilat jari.  Rasa puas makan lemang di sini macam lemang yang dibuat oleh ibu dan arwah ayah saya.





 
 
Menu utama restoren To'ki Lemang ni sudah tentunya lemang dan terdapat juga masakan panas dan minuman yang enak di sini.  Lemang boleh terus makan di sana atau pun bungkus untuk dibawa pulang.  Harga sebatang lemang mengikut saiz.  Harga lemang saiz kecil ialah RM 8.00, saiz sederhana RM 10.00 dan saiz besar RM 12.00.  Saya rasa harga lemang yang dibayar berbaloi dengan kesedapan lemang itu.  Tidak rugi jika rakan-rakan bloger yang datang ke Bentong singgah di restoren To'ki Lemang Bentong.  Sekali singgah pasti akan singgah lagi.  Saya amat berpuas hati dengan layanan pekerja di sana walaupun saya hanya membungkus lemang sahaja untuk di bawa balik.

Kepada suami yang isteri yang mengidam untuk makan lemang panas yang sedap dan lemak silalah berkunjung ke restoren To'ki Lemang Bentong.  Ingat Bentong ingatlah restoren To'ki Lemang.  Kesedapannya hanya orang yang makan sahaja yang dapat menghayatinya.  Syukur alhamdulillah, kerana diberi kesempatan untuk singgah di sana dan makan lemang panas itu bersama suami tercinta.
 
Sekian, jumpa lagi.

No comments:

Post a Comment