Wednesday 15 October 2014

KEMATIAN TIDAK MENGENAL USIA

 
Assalamualaikum
 

Pada awal pagi 13.10.2014 ketika menghadiri perhimpunan pagi di SJKC Chio Chiao, saya diberitahu oleh Encik Chiew Gin Siong selaku guru kelas 2A yang menyatakan ayah Wan Muhammad Farhan Bin Wan Mohd Syahril telah meninggal dunia pada jam 2.00 pagi.  Berita sedih ini diberitahu sendiri oleh ibu Farhan mengenai ketidakhadiran anaknya ke sekolah pada hari tersebut oleh kerana bimbang anaknya akan menduduki peperiksaan akhir tahun pada pagi tersebut.  Kami semua guru-guru amat terkejut dengan berita itu.  Wan Muhammad Farhan merupakan seorang murid yang bijak dan disenangi oleh semua guru.
 
Selepas sahaja selesai perhimpunan dan sedikit perbincangan dibuat antara guru yang muslim dan kata sepakat diambil iaitu guru yang tidak ada kelas sebelum rehat dibenarkan pergi berziarah dengan mengisi borang kebenaran meninggalkan pejabat.  Saya bersama Cikgu Faizzuddin pergi ke rumah Farhan di No. 13, Jalan 22/1, Taman Seroja, Bandar baru Salak Tinggi.  Sebelum kami pergi ke sana Cikgu Faizzuddin sempat mengedarkan tabung derma kilat kepada guru-guru dan murid-murid bagi yang ingin menyumbang wang.  Alhamdulillah, sejumlah wang terkumpul bagi meringankan beban keluarga Farhan.

Jodoh pertemuan, ajal maut adalah ketentuan Ilahi. Kita hanya merancang dan Allah S.W.T yang menentukan semuanya.  Sesungguhnya kematian itu tidak mengenal usia.  Adik ipar saya contohnya telah pergi mengadap Allah pada 20.06.2014 yang lalu kerana demam denggi berdarah.  Nama beliau ialah Muhammad Farhan Bin Shamsuddin yang ketika itu berusia 21tahun.  Kami sekeluarga amat terasa kehilangannya kerana arwah merupakan anak bongsu dalam keluarga suami.

Ayah Farhan iaitu Wan Mohd Syahril Bin Ab Rahman baru berusia 36 tahun.  Beliau meninggal dunia di usia yang muda.  Sama-samalah kita sedekahkan surah al-Fatihah untuk adik ipar saya dan ayah Farhan semoga keduanya di tempatkan bersama orang-orang yang beriman.  Oleh itu, berazamlah untuk solat di awal waktu, berbuat baik kepada ibu bapa, banyakkan bersedekah, membaca al-Quran dan zikir serta buatlah kebaikan sepanjang kita hidup.  Kerana apabila kita meninggal dunia harta benda dan wang ringgit sudah tidak berguna lagi.  Kepada adik Farhan, saya doakan moga sabar dengan dugaan ini, belajar bersungguh-sungguh dan menjadi anak yang soleh.  Sentiasa gembirakan hati ibu dan menjadi contoh yang baik kepada adik-adik.

Sekian, jumpa lagi.


Wan Muhammad Farhan Bin Wan Mohd Syahril yang berbaju melayu warna ungu

 

No comments:

Post a Comment